Bagaimanakah agaknya sifat CINTA?
Cinta letaknya di dalam jiwa. Dan jiwa manusia itu tunggang terbalik gayanya. Sebab itu ia dinamakan Qalb. Justru, Cinta sifatnya berubah-ubah. Sebab itu perlu diletakkan ‘pemberat’ yang kukuh untuk menjaganya.
Oleh karenanya kita perlulah meletakkan Allah sebagai pemberatnya, supaya dapat membuahkan cinta-cinta yang lain.
Darjat-Darjat Cinta
1. Cinta Agung.
Seorang mu’min, di dalam jiwanya tak akan ada yang lebih tinggi daripada AllahSWT, mentaati-Nya, menjalankan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Ini cinta yang agung di sisi Islam. Tiada yang akan mampu menandingi kelebihan cinta ini.
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab siksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (durhaka).” - Surah At-Taubah ayat 24.
Cinta yang agung inilah yang akan membuahkan cinta kepada Rasulullah SAW. Hanya dengan mendalami cinta agung ini, barulah kita akan mampu memahami dan mencintai Rasulullah SAW sebenar-benar percintaan.
Sebagaimana seorang perempuan selepas peperangan Uhud, tidak terkejut mahupun bersedih dengan kematian sanak saudaranya. Tetapi dia risaukan keadaan Rasulullah SAW.
Bila dikatakan Rasulullah SAW baik-baik sahaja, dia tidak puas. Dia bergerak mencari dan bertemu Rasulullah SAW. Ketika bertemu Rasulullah SAW, dia berkata:
“Ya Rasulullah, segala musibah menjadi kecil apabila melihat engkau dalam keadaan baik”
Sungguh indah cinta ini.
.
2. Cinta pertengahan
Cinta ini adalah yang biasa dihidapi oleh semua manusia. Cinta sesama insan, cinta kepada keluarga, cinta kepada sahabat-sahabat dan sebagainya.
Cinta ini, jika tidak dibina atas Cinta Agung tadi, maka ia akan jatuh ke tahap cinta yang hina. Sebab itu, cinta pertengahan ini perlu kita mulakan dahulu dengan Cinta yang Agung tadi.
Biar cinta kita kepada pasangan kita hanya kerana Allah, cinta kita kepada insan lain adalah kerana Allah, kepada keluarga kerana Allah, kepada sahabat-sahabat kerana Allah. Di sini akan menjadi penggerak kepada kekuatan dalaman dan ikatan yang utuh dalam hubungan.
Yang menjadikan hubungan ini menarik apabila dibina atas Cinta Agung, adalah hubungan ini akan menembusi Syurga merentasi neraka.
Namun, jika tidak dibina atas Cinta Agung, hubungan ini hanyalah sia-sia dan tidak mendapat apa-apa. Gembira-gembira sebentar di atas dunia yang fana, di akhirat merana selama-lama.
.
3. Cinta Hina
Apakah cinta yang hina? Itulah dia cinta kepada taghut dan kesesatan. Memang mungkin kalau dikatakan begini, tiada yang akan menyatakan dirinya jatuh ke tahap cinta hina.
Tetapi hakikatnya, melanggar perintah Allah SWT, tidak mengambil hukumnya sebagai aturan kehidupan, melakukan apa yang Allah larang, itu semua sudah termasuk ke dalam cinta kepada taghut dan kesesatan.
Tambah hina apabila di dalam jiwa kita ada rasa ‘cinta’ dengan maksiat dan keingkaran. Cinta inilah yang akan menyeret Cinta Pertengahan kepada kerosakan.
Lihatlah dalam kehidupan kita hari ini. Pandang sekeliling kita. Lihat di dalam kaca TV. Bagaimana masyarakat kita memahami cinta. Allah diletak tepi, pesanan Rasulullah SAW tidak diendahkan lagi. Maka rosaklah keimanannya, memudahkan syaitan menyeluk ke dalam jiwanya.
Cinta sememangnya fitrah. Ia seperti makan. Makan adalah fitrah, namun ia perlu dikawal, jika tidak ia akan mendatangkan pelbagai penyakit. Begitu jugalah cinta.
“Jika benar cinta itu kerana ALLAH, maka biarkanlah ia mengalir mengikut aliran ALLAH kerana hakikatnya ia berhulu dari ALLAH maka ia pun berhilir hanya kepada ALLAH, kerana hati ini begitu mudah untuk dibolak-balikkan, serahkan rasa yang tiada sanggup dijadikan halal itu pada Yang memberi dan memilikiNYA, biarkan DIA yg mengatur semuanya hingga keindahan itu datang pada waktunya..”
Tidak ada komentar:
Posting Komentar